Wednesday 25 February 2015

Resensi: Terbaik Dari Langit


“Kalau kat sekolah dulu baca buku tak faham, kau bodoh ke buku bodoh?” – Berg

Khir Rahman, seorang pelakon dan pembikin filem di dalam sesi dialog tonton amal filem pendeknya ‘PESONA... ter’ berkata, “penulisan mempunyai nilai sastera dan begitu jua dengan filem tetapi sastera penulisan dan sastera filem tidak sama”

Jika kita mahukan susuk tubuh badan yang sihat maka kita perlukan pengambilan makanan yang bagus. Jika kita mahukan minda kita berfungsi akalnya maka kita akan mencari bahan bacaan yang mencakar minda dan begitu jualah filem. Dewasa ini kebanyakkan filem tempatan yang terbit telah gagal dari sudut kualiti. Filem sebegini aku sifatkan ia dengan gelaran junk food. Boleh tonton tapi jangan berlebihan. Dalam lambakan filem junk food/popcorn tempatan masih ada lagi sebuah naskah yang tak keterlaluan jika aku katakan ‘filem seni moden’ Terbaik Dari Langit.

Jika kau bandingkan filem ini dengan filem KiL hanya kerana sudut pengarahan yang sama mungkin boleh dan mungkin tidak. Terbaik Dari Langit mengangkat tema persahabatan yang jarang diketengahkan dan dikupas. Apakah zaman yang paling menyeronokkan pernah kamu lalui selain zaman persekolahan? Isu yang diketengahkan ini terbina selari dengan masalah industri pembikinan filem tanahair.

Naskah ini dimulakan dengan memori pengenalan 4 watak yang bersahabat baik sejak zaman persekolahan. Kita sedia maklum yang mana institusi persekolahan adalah permulaan pola pemikiran mengikut sistem dan kehendak sebuah kerajaan pemerintah. Jika hala tuju kerajaan samar-samar maka misi dan visinya juga kurang jelas bagi tenaga pengajar untuk meneruskan matlamat kerajaan.

Ini dapat dilihat dari hasil pandangan penulis lakon layar dan skrip filem ini sendiri iaitu Redza Minhat. Sebagai contoh babak pementasan teater Batu Belah Batu Bertangkup. Riak air muka cikgu Mat Deris yang kurang senang dengan persoalan yang dilontarkan oleh Berg.

“Apakah batu ini bersifat karnivor?”

Penonton yang majoritinya adalah pelajar yang mewakil generasi baru ketawa berdekah-dekah tanda setuju akan persoalan itu, tetapi tidak untuk cikgu Mat Deris. Cikgu Mat Deris yang digambarkan mewakili institusi persekolahan warga senior/veteran terus cuba meletakkan corak fahaman sempit seperti yang digambarkan dalam babak penyerahan semula video rakaman.


“Buatlah filem bagus-bagus, (bukan) filem sampah”

Berpandukan tulisan kapor di papan hitam, watak cikgu Mat Deris adalah guru Bahasa Melayu. Adakah wajar seorang guru gagal menterjemahkan karya dari sudut seni? Jika sistem itu sudah pincang dan tidak mahu berubah maka sampai bila-bila pun akan sama. Begitulah jika kita lihat watak Toyu setelah dewasa. Toyu merupakan menyambung warisan para pengajar atau generasi peneraju dan beliau mengajar subjek Kemahiran Hidup. Babak itu bagaikan sindiran bapa borek, anak rintik.

Satu sudut di papan hitam ada tertulis “BG Riot” Babak itu mengingatkan kembali isu demontrasi BERSIH. Kononnya ketika itu budaya turun ke jalanraya adalah budaya beruk. Jadi mengapakah beruk-beruk itu turun ke jalanraya? Adakah kerana mereka beruk, atau bapa beruk yang tak mengaku mereka beruk?

Bikin filem bukanlah satu kerja yang mudah. Ia memerlukan semangat nilai setia kawan dan kesefahaman yang sekata. Aku rindukan aroma stress berdepan dengan bermacam kerenah di belakang tabir. Dengan kerenah displin, ego pelakon dan pengarah (sutradara & videographer), jurugegas yang tak cukup tidur, van handy yang selalu meragam, juru mekap tak sebulu dengan pengarah seni, wartawan dengan soalan cepu cemasnya, pembantu pengarah yang tak dapat di kawal oleh pengurus produksi dan yang paling ketara adalah bajet.


Aku tertarik dengan dialog Ali “nak yang pesyen-pesyen, bayar yang posen posen” tukar syot terpampang muka lembu. Babak ini mengambarkan betapa teruknya masa depan pelakon tambahan kita. Jika di Hollywood watak sebagai pelakon tambahan sahaja sudah mampu menjadi sebuah kerjaya yang menjamin kehidupan. Aziz Satar memulakan bidang lakonan dari tahap pelakon tambahan. Itu pun sebab mengantikan pelakon tambahan yang tak datang. Beto Khusyari yang menjadi kegilaan dara sunti pun berasal dari aras pelakon tambahan jua. Jika kerjaya asas pun dah ke laut, bagaimana pula dengan impian besar sutradara?

Saban tahun dada media sering mencanang isu kebajikan pelakon dan pengkarya di balik tabir yang lain. Sebenarnya isu ini adalah isu lapok dan hanya dinaikkan isunya untuk meraih pengaruh jika tertubuhnya persatuan yang kononnya membela nasib mereka. Jika benar mereka itu pembela, mengapa hak royalti zaman gemilang Jalan Ampas diam berkubur.

Begitu juga dengan momokan bahawa kerjaya dalam bidang kedoktoran adalah sesuatu yang hebat di mata masyarakat. Terutama simbolik props picagari. Jika yang memegangnya itu seorang doktor bertauliah maka segala kata-katanya bagaikan ahli sihir yang sedang menyihir. Jika pemegang itu dari kelas kebanyakan maka digelar doktor pacak.

Dalam sistem pendidikan kita jua ada masalah pengkastaan ini terutamanya pengasingan pelajar pandai ke aliran sains dan ekonomi manakala yang sebaliknya pula di aliran seni sastera. Senyum itu penawar duka. Tabib yang merawat pesakit tanpa naluri seni halus hanya menjual dadah mengikut sukatan tertentu agar melegakan masalah penyakit. Rakyat mahrain penjana ekonomi. Berniaga berasaskan untung hanya mengundang penindasan hasil dari sifat tamak untuk bersaing. Seni tanpa fizik bakal menerbitkan fahaman mitos yang mengarut serta tahyul.

Justeru itu, watak Sofea Jane adalah budak perempuan yang memberontak jiwanya akibat kehendak keluarga yang mahukan ia menjadi doktor. Boleh dikatakan penulis skrip memang sengaja meletak Sofea Jane sebagai bekas pelajar perubatan kerana dialah yang merawat virus kotor yang ada dalam perhubungan 4 sahabat itu. Bayangkan jika sistem pendidikan kita tiada pengkelasan darjat.


Sofea Jane dan Toyu adalah watak yang jelas menunjukkan masalah dalam sistem persekolahan kita. Istilah dalam sains mempunyai tapak asas yang sama dengan seni cuma percanggahan berlaku apabila sesuatu istilah yang dilontarkan itu dipertahankan. Contohnya babak di dalam van sewaktu Berg menelan pil, pada mata Toyu yang berjiwa seni ia adalah panadol yang melegakan kesakitan. Tetapi di mata Sofea Jane sebagai bekas pelajar kejururawatan beliau menghuraikan mengapa harus Berg mengambil dadah.

Selain naratif yang cantik, permainan kamera Jordan Chiam jua sangat mengasyikkan. Terasa bagai menonton iklan raya petronas Yasmin Ahmad durasi filem. Dibantu pula dengan pemainan prop terutamanya bagasi yang digalas atau diusung ke hulu ke hilir adalah simbolik kepada bebanan dosa silam atau mungkin juga permasalahan diri masing-masing. Tekanan dengan awek yang mendesak untuk  berkahwin, tekanan dengan harapan keluarga, tekanan dengan misi dan visi kerajaan, tekanan dengan penonton filem yang kerap nak pembikin filem fahamkan isinya dan tekanan yang tiada tekanan seperti watak Ali. Semuanya tersimpan di dalam bagasi watak masing-masing.

Peranan watak berposisi golongan bawahan turut menjadi tema perbualan dalam naskah ini. Watak Ali sangat sempoi. Jika di dalam team krew penggambaran Ali ibarat pembantu produksi. Dialah Handyman dialah Runner. Kadangkala posisi bawahan ini mampu menguruskan seluruh idea pengarah agar visi pengarah itu mampu dicapai. Seperti di dalam syarikat yang berpengaruh, pernahkah kau tengok Boss hantar surat by hand? Kalau boss yang hantar, siapa yang nak pergi sidang mesyuarat? Takkan suruh office boy? Maka itu disebabkan itu jawatan dispatch wujud. Tujuannya melancarkan operasi syarikat. Begitulah peranan Ali. Walaupun berbadan besar tapi penakut, dengan semangat setia kawan dan jati diri yang kreatif beliau mampu mengharungi rintangan pelbagai kerenah hidup bermasyarakat ras dan kasta.

Begitu jua dengan watak Sara, pembantu peribadi. Aku kurang pasti Sara pembantu peribadi siapa? Tapi aku yakin Sara adalah pembantu peribadi kepada Zelda seorang ahli niaga berstatus bintang. Sara digambarkan sebagai watak pembuka mata kepada pihak yang angkuh berdiri bersama bodoh sombongnya.
Watak Sara dan Sofia diwujudkan seolah-olah watak kita sebagai penonton yang turut serta dalam pengembara secara separa sedar. Dan dalam masa yang sama jua kedua watak ini adalah bercorak ahli diplomat atau orang tengah yang meleraikan kekusutan konflik 2 pihak.

Tidak mudah untuk menyelesaikan masalah jika kita tidak kenal punca permasalahan. Berg mengajak rakannya kembali mengenal punca permasalahan. Begitu jua dengan permasalahan global kini. Mengapa sana sini berlaku huru-hara yang tak berkesudahan? Apakah jika dengan bertolak ansur maka tercapainya solusi damai? Tidakkah ia bakal dilihat seperti ada pihak yang akan terus menindas atas kesempatan sesetengah pihak yang mengalah?

Nik selaku pengarah dan Redza bertindak sebagai penulis mengajak untuk kita kembali kepada titik mula atau fitrah kehidupan. Jika melihat kegemilangan kesusasteraan melayu ia akan terbentuk dari dua sudut iaitu dari elemen bicara alam semula jadi atau kembali ke tanah asal. Babak Berg dan rakannya berkampung semula di kampung halamannya dan dikuatkan dengan penceritaan susur galur dari Toyu nyata adalah titik sebenar yang hendak disampaikan isi cerita filem ini.


Begitu jua dengan elemen air dan tanah yang digambarkan. Jika menurut pendapat falsafah mistik, manusia itu berasal dari tanah. Dengan elemen penyucian jiwa yang dilontarkan melalui 2 kali bilasan air. Pertama ketika babak sewaktu ketegangan di dalam ruang yang kecil (di dalam van). Masing-masing sudah mengalami permasalahan yang ketara. Lalu elemen hujan yang hadir bagaikan pelepas ketegangan. Aku merasa rugi tidak dapat menonton dengan suasana pawagam. Aku percaya aku jua akan hanyut bersama mereka dengan permainan kamera dan bunyi runut dari Pita Hati. Ia sangat memainkan peranan. Begitu jua dengan babak mandi laut yang menceritakan manusia perlu bebas. Ia jua seperti kepercayaan yang beragama seperti berwuduk dan mandi untuk menebus dosa di Sungai Gangga atau berendam di dalam Holy Water adalah element terang dan nyata bagi pengamal ritual.

Bertaubatlah sebanyak mana pun jika kita tidak kembali kepada asal usul atau fitrah atau pulangkan kepada yang hak, mampukah kita hidup dengan damai sejahtera? Mengenali diri dan peranan masing-masing tanpa rasa dengki dan iri hati. Menjalankan tugas tanpa bayang-menbayangi seperti peranan setiap lebah kepada ratunya?

Fasa kehidupan sebenar bermula setelah kita mengenali diri sendiri.

Wednesday 4 February 2015

rukun damai

jika dapat kau melihat
rupa syurga yang hakiki
pasti kau butakan mata
pada semua ugama

jika dapat kau menyedari
apakah itu neraka
pasti kau laungkan
ayuh hidup tanpa perang

bersegamalah bersama
dengan damai sejahtera