Monday 22 December 2014

Pasca AFF Suzuki CUP 2014.


*******

"Cis!! kalah lagi" degus Pak Karim Tempe.

Bukan setakat Pak Karim Tempe sahaja yang kecewa, malah seluruh peminat bolasepak Malaysia turut kecewa dengan kegagalan pasukan negara kepada pasukan dari negara jiran, Thailand. Benarlah ramalan teori kurator-kurator Twitter bahawa belum pernah lagi dalam sejarah bola sepak, pasukan gajah kalah kepada pasukan harimau. Tahun ini sahaja sudah dua kali perlawanan akhir membuktikannya dalam temasya tempatan.

"Tak boleh jadi ni. Aku kena buat sesuatu ni." bebel Pak Karim Tempe yang masih berdiri di hadapan television warung Muneandy.

"Aku tak boleh biar ni. Sudah banyak kali ni." getus Pak Karim Tempe.

Lantas Pak Karim Tempe beredar menuju ke basikal  tua pusaka peninggalan bapanya, Haji Meon yang merupakan bekas penghulu Kampung Kertas.

“Dey kawan! Air sapa mau kasi settle la dey?” jerit Muneandy.

“Esok aku bayar la. Macam tak biasa.” balas Pak Karim.

“Jangan itu macam la kawan...”

“Esok, esok..”

Belum sempat Muneandy habis berkata, Pak Karim terus beredar membelah pekat malam bersama basikal tua pusakanya.

*******

Pagi hari minggu itu udaranya amat nyaman. Sekawan burung berterbangan dengan kicauan kegembiraan dari pelbagai spesis telah memecah hening pagi yang damai. Tapi jiwa Pak Karim Tempe tetap bergelodak dan tidak setenang tasik yang tiada buaya. Kekalahan semalam amat perit. Tewas merebut piala kebanggaan rantau Asia Tenggara baginya ibarat kegagalan pasukan Brazil menjuarai kejohanan bolasepak Piala Dunia.

Seawal pagi lagi Pak Karim bersiap dengan berpakaian kemas. Berbaju kemeja putih lusuh lengan panjang. Berseluar panjang hitam pejabat. Berkasut Converse merah limited edition hadiah dari anak bongsunya, Malik. Dengan langkah penuh bersemangat Pak Karim Tempe menuju ke basikal tuanya.

                “Amboi Pak Karim. Awal benor nampak. Biasanya hari minggu macam ni payah nak nampak muka. Lawa kemain lagi ni. Nak ke mananya weih?” tegur Zali Intai yang muncul secara tiba-tiba.

                “Ya Allah kamu ni Zali. Terkejut aku.”

                “Sorry la Pak Karim. Ni nak ke mana ni?”

                “Ada la urusan aku ni, yang kamu nak nyibuk hal orang tua ni kenapa? Dah dah! Aku dah lambat ni.”

                Dengan segera Pak Karim Tempe mengayuh basikal tuanya meninggalkan Zali Intai yang terhegeh-hegeh masuk port untuk sekodeng Mak Mah Janda Gebu di belakang rumah Pak Karim Tempe.

*******

                Suasana lengang pekan Tumpu memang menjadi budaya pada setiap pagi minggu. Jalan raya jua lengang sehingga jika ada kekura pun ia mampu menyeberangi jalan dua hala. Hanya beberapa buah kedai termasuk gerai makan sahaja yang masih berniaga. Tidak pasti mengapa mereka sanggup berniaga. Bukannya  ramai orang pun.

                Pak Karim Tempe tiba di sebatang tiang lampu lalu memakir basikal tua pusakanya dan merantaikannya sekali. Dikeluarkannya sikat oren pendek lalu menyisir rambut yang dah tak berapa nak hitam dengan kemas. Jarak kayuhannya dari Kampung Kertas ke pekan Tumpu hanya memakan masa empat puluh lima minit. Dengan tempoh semacam itu sudah pasti sisir rambut perlu diperbaiki.

                “Semalam dah la kalah. Cara ni je yang aku mampu” bisik hati kecil Pak Karim Tempe.

                Pak Karim Tempe terus mengorak langkah demi langkah dengan penuh confident menyeberangi jalan raya yang lengang tanpa perlu menoleh ke kiri dan ke kanan. Lagak hayunan kakinya melangkah persis hero pencen. Hala tuju laluannya menuju ke arah sebuah permis lalu Pak Karim Tempe masuk ke dalam perut permis tanpa sedikit kegusaran pun di hatinya. Pak Karim Tempe kini terpacak di hadapan kaunter.

                “Amoi. 2032 kecik seringgit, besar seringgit.”


-MAT-

Sunday 21 December 2014

Rebiu: Edge of Tomorrow


Live, die & repeat. Atau dalam ertikata lain, hidup ini singkat. Atau lebih kemas, gua kasi dengan jolokan video games concept. Ya itulah yang boleh gua sebut untuk jalan cerita berkaitan filem ni.

Filem arahan Doug Liman yang diadaptasi dari novel All You Need Is Kill karya Hiroshi Sakurazaka ini seolah-olah membawa pengembaraan nafsu ghairah peminat pemainan peranti model dalam konsep looping time travel. Unlock pada setiap level, from zero to hero. Maka pendek kata filem ini gua klaskan sebagai popcorn movie dan tiada pengisian, hanya hiburan semata-mata. Sejujurnya filem arahan Doug Liman sebelum ini iaitu The Bourne Identity(2002) lebih menarik, atau mungkin Doung Liman sememangnya lebih dekat jiwa arahannya jika filem itu tiada sebarang elemen sci-fi kerana jika di bandingkan dengan sebuah lagi karya beliau yang lebih menarik adalah filem Mr & Ms Smith(2002)

Jika lu peminat filem aksi, gua rasa luorang boleh layan filem ni sebab elemen mood naik turun tidaklah menghampakan. Dan jika luorang yang jenis suka berangan pula gua rasa filem ni masih mampu menjadi pilihan kerana nilai sci-fi yang tak lah melampau permainan grafiknya. Manakala permainan kamera dan bunyi runutnya pada gua ia agak menghiburkan dari sudut bahasa filem.

Gua tak pasti bahawa mungkin gua ada masalah dengan lakonan Tom Cruise dalam naskah ini. Mungkin disebabkan filem yang sering dilakonkan olehnya seakan sama jika lakonannya berunsur sci-fi. Tiada kelainan dalam lakonannya untuk filem ini. Manakala lakonan Emily Blunt pula tidak banyak bezanya, mirip filem ronin dari segi reaksi memek mukanya dan bahasa tubuh.

Kesimpulan yang gua dapat rumuskan dalam keseluruhan filem ini adalah jalan ceritanya sangat pendek akan tetapi dipanjangkan dengan pelbagai pilihan konsep try and error. Selainnya pula adalah jika kau hanya pandai cakap dan kritik tapi kau tak pernah berdepan dengan situasi sebenar dalam setiap kejadian maka kau tak harus berlagak hero pada sesuatu situasi kerana itu adalah ciri-ciri seorang penakut. Jika kau seorang ketua yang bangang maka kau akan membawa anak buah kau mati katak. Tetapi jika kau sesorang yang tidak berpengaruh, tidak mempunyai kuasa penting dalam masyarakat, politik, persatuan, koloni, pejabat, geng kongsi gelap atau apa saja kumpulan, jangan harap idea kau itu super bernas. Ini kerana kau berada masih lagi dalam majoriti yang bangang dan itu adalah lumrah sifat manusia pada zaman sekarang.

Persoalan di dalam filem tersebut, adakah dengan membunuh induk (Mimics versi Omega) maka peperangan yang mereka hadapi itu akan selesai? Atau adakah sebenarnya jalan cerita filem ini hanya penjelajahan mimpi sewaktu Cage lelap sementara helikopternya mendarat? Atau sebenarnya selepas Cage membunuh induknya maka Cage memulakannya semula dengan cara pendekatan sebagai pegawai atasan?

Saturday 20 December 2014

Ini blog baru gua.

Betul. Ini blog baru gua tapi blog-blog lama gua masih beroperasi seperti biasa. Cuma dalam blog ni gua wujudkan khas untuk sesorang.

Betul, gua tak bohong, nanti Tuhan marah.

yey!!