Sunday 23 August 2015

Isteri Di Kala Susah

Berlakulah suatu dialog di ruang tamu.

Si Laki: Pakcik, makcik. Saya nak ambil anak pakcik, makcik sebagai isteri yang sah.

Pak cik: Kenapa pilih anak kami?

Mak cik: A ah nak, Bukankah ramai lagi perempuan ohsem di luar sana?

Si Laki: Kerana anak pakcik ada bersama ketika susah.

Pak cik: Oo begitu. Maknanya jika kamu senang kelak pasti anak kami sudah tak bersama kamu kan.

Mak cik: Lagi pun nak, anak kami tu gendernya sama seperti kamu. Sebab tu dia tak bertudung.

bersambung pada post yang akan datang...

Friday 14 August 2015

certot (cerita kontot) -:Kopi:-

Hawa berjalan ala kucing siam masuk ke perut gerai mamak lalu menuju ke satu sudut yang terdapat meja tempat Adam menghirup kopi pekat panas. Selesai Adam menghirup kopi pekat panas lalu Hawa mencelup jari telunjuk runcing tangan kirinya dan membasahkan ia pada sebatang rokok balutan kilang. Hawa menyuakan rokok yang lencun berlumuran kopi ke bibir mugilnya dan dicucuhnya api oleh Adam maka bermula noda hitam menuju ke pintu neraka.
Mengapa kopi sering dikaitkan dgn sisi gelap?

nota kaki: karya ini pernah disiarkan pada Ogos 14, 2013 jam 2:24pagi di laman twitter dan facebook.

Tuesday 16 June 2015

Bodoh Di Mana-mana

dulu setakat ulamak di dalam UMNO sahaja yang bangang,
kini ulamak di dalam PAS sudah berjankit!!

Friday 12 June 2015

Skate 1st or Your Wife?

"Humanghai, cantik betul cuaca hari ni. Kalu layan main skate pun best juga ni"

Detik hati gua selepas gua mengeliat di balkoni kediaman indah kami Laki-Bini.

"Bang, hari ni kita layan cendol jom"

Kebetulan pula gua memang dah lama nak makan mee rebus mamak, maka bersiaplah gua Laki-Bini. Kami menuju ke Tasik Ampang Hilir sebaik sahaja selesai warga kota berjemaah jumaat. Tak sampai setengah jam kami sampai ke lokasi. Gua order mee rebus Dan Puan Bini order rojak standard. Cendol, kitorang kongsi tanda romantik.

Dalam hati gua dah terbayang, settle je makan ni terus pergi skate park. Dah seminggu gua tak skatting. Perut gua pun kadang-kadang nampak selevel dengan Puan Bini.

Tengah sedap gua melayan mee rebus, sempat juga gua menjeling ikut hujung mata tengok cara Puan Bini makan.

"Hrm, sedap"

Baru dua sudu dia suap dah nampak mimik muka lain macam. Makan pun tak habis. Tak lama lepas tu, hujan.

Okay. Gua faham. No Skate Day today.

Sunday 31 May 2015

Buat Baik, Dibalas Jahat

"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali?"

Apakah maksud dan makna sebenar bagi kata pepatah mahupun bidalan yang bersepah atau sering digunakan? Adakah kita benar fasih atau faham lagi hadam akan rungkaian kata-kata sedemikian.
Adakah benar buat baik berpada-pada membawa makna, tidak perlu berbaik-baik secara semberono atau ia membawa maksud, tidak perlu berkelakuan baik jika ada niat jahat disebaliknya?

Ada kalanya gua terfikir, mengapa harus berkelakuan baik dalam sekala berpada-pada sedangkan berbuat baik itu sesuatu nilai moral yang positif? Seperti penekanan ayat buat jahat jangan sekali jelas menerangkan bahawa ia adalah suatu nilai negatif yang seharusnya kita hindari malah tidak patut diwarisi oleh genarasi berikutnya.

Jadi adakah penekanan ayat buat baik berpada itu hanya mengajar manusia bersikap tunggu dan lihat? Atau sebenarnya kita sendiri hanya tahu menyebutnya tetapi gagal memahami erti dan nilai ayat sebenar. Jika benar tuhan sukakan hambanya bersikap baik, bukankah molek jika sikap baik itu tiada sekala berpada-pada.

Jujur gua katakan ramai manusia yang mengelar dirinya melayu sejati sebenarnya buta akan makna dan maksud kata bidalan mahupun pepatah bahasa ibundanya sendiri. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali jelas mebawa maksud buat baik itu bagus tapi kalau buat baik yang melampau hingga ada udang sebalik batu, janganlah dilakukan.

Saturday 16 May 2015

Pengalaman adalah Guru Besar kepada cikgu dan segalanya.

Pada suatu masa dahulu. Di dalam sebuah kelas sekolah rendah yang jauh dari kawasan perumahan.

Cikgu Kelas         : Apa cita-cita kamu bila besar nanti?
Murid A               : Saya nak jadi ustaz, cikgu.
Murid B               : Saya nak jadi doktor, cikgu.
Murid C              : Saya nak jadi Perdana Menteri, cikgu.

Pada waktu itu segala jawapannya indah dan hebat. Mungkin kerana sepontan atau dalam keadaan tersepit. Antara cita-cita dan kerjaya tidak diperjelaskan perbezaannya. Tak mungkin satu masa akan datang bakal berlaku sesuatu yang tak dijangka.

***

Pada suatu masa hadapan yang tidak dipastikan bila. Di dalam bilik tadika di kawasan rumah flat kos rendah.

                Cikgu Tadika       : Bila besar nanti nak jadi apa?
                Murid 1               : Saya nak jadi suri rumah sepenuh masa.
                Murid 2               : Saya nak berkebun.
                Murid 3               : Saya nak mengembala.

***

Jika dahulu bunyinya begini;

                “Kau berlajarlah tinggi-tinggi, cerok dapur juga kau nanti.”

Dan kini bunyinya begini;

                “Kau berlajar jauh-jauh, bergolok bergadai, takkan nak kerja cashier kot?”

Akan datang mungkin begini;

                “Kau tak nak ke belajar kat situ? Di situ ada kos Suri Rumah Sepenuh Masa.”


Selagi bidang pendidikan menjadi bahan perniagaan dan perdagangan selagi itulah kehidupan menjadi huru-hara. Selamat hari guru kepada Pengalaman dan Bumi yang telah menjadi bilik darjah mengajar kepada manusia sekelian alam.

Thursday 23 April 2015

Orang Juga Binatang

Jika haiwan jua memiliki naluri kasih sayang, manusia jua memiliki sifat binatang.

Kelemahan manusia adalah:-

1. membaca
2. berfikir
3. mengikut

Taktik untuk jayakan misi kelemahan manusia adalah:-

1. susun laluan ikutan
2. wujudkan momokan
3. hiburan

Jika rutin lembu yang diternak di kandang hidupnya celik mata, ragut rumput dan tidur maka samalah jua dengan rutin manusia kini. bangun tidur, cari rezeki dan pulang ke rumah. Hal sebegini belum lagi dikupas dengan mendalam dalam sudut  Koloni, Puak, Kasta, Darjat dan Kuasa.

Friday 17 April 2015

buruk!

Kejamkah Tuhan mencipta manusia yang berparas rupa tidak cantik serta tidak menarik sedangkan setiap ciptaan Tuhan itu tiada yang sia-sia?

Saturday 11 April 2015

Penjanjian Konsisten



GOLLL!!! –

Gamat Warung Muneandy. Setiap mata yang tertumpu setiap aksi-aksi pada kotak television yang tergantung di warungnya telah dibalas dengan sorak sorai yang bertenaga.

“Celake player Kelantan. Diorang ni dah level state, tapi main macam budak estet!” luah Edy Katik sambil menghulurkan wang taruhan kepada Pak Karim Tempe.

“Cepat, cepat. Letak sini duit, letak sini duit. Macam biasa. Cepat, cepat.” Gesa Pak Karim Tempe sambil menepuk-nepuk mejanya. “Tadi sape yang skor gol? Dickson ekk. Minit ke berapa dia skor tadi?”

“Minit ke 55” jawab Edy Katik dengan  semalas yang boleh.

“Kita ni kalu nak nengok bola, tak boleh serius sangat.” kata Pak Karim Tempe. “Yang penting, kita yang nengok bola ni kena cerdik dan peka. Baru bolehlah kaya.”

Usai Pak Karim Tempe mengira sambil menyusun duit kertas yang baru berpindah milik, Pak Karim Tempe bangun untuk beredar.

            “Takkan nak blah dah kot? Game tak abis lagi ni” soal Edy Katik tak puas hati.

          “Macam ni. Kalu kejap lagi Kelantan dapat skor sebiji, korang claim dengan Apek Wong. Double! Tapi kalu result tak berubah, air kopi ni ko tolong bayarkan” Pak Karim Tempe mengalihkan cawan kopinya ke meja Edy Katik. “First gol tadi minit 41 kan?”

Senyum Pak Karim Tempe kepada Apek Wong rakan seperjudiannya. Pak Karim Tempe menepuk mesra bahu Apek Wong lantas Pak Karim menghulur upah perjanjian konsensi mereka berdua lalu Pak Karim Tempe pun beredar.

Sudah sekian lama mereka bersepakat. Setiap kali berlansungnya perlawanan liga tempatan di kaca television, maka setiap kali itulah akan termenterai pakatan mereka.

Dan keesokkan harinya seperti biasa.


            “Amoi. 4155 macam biasa arr” titah Pak Karim Tempe sambil menghulurkan nota kecil di kaunter.

Saturday 28 March 2015

Demokrasi Kuku Besi!!


demonstrasi adalah hak rakyat demokrasi dan ia harus dilindungi dari pemerintahan kuku besi...
kuku besi sering lahir dari rahim demokrasi..

yey!!

Friday 27 March 2015

Skrip Klise!!


Tanggal 23 Jun 2002, gua menjadi antara manusia yang lantang bersuara berkaitan dengan dasar halatuju Parti Islam Sa-Malaysia. Kelantangan gua bermula dengan istilah "Bas Baru, Driver Lama" yang mana peneraju parti tersebut ketika itu adalah Hadi Awang dan istilah "Geng Janggut Panjang vs Geng Janggut Pendek" pun turut panas di zaman blogger.

Tumbangnya Parti Islam Se-Malaysia pada 4 Mac 2004 bertunjangkan pada dua faktor asas. Pertama adalah peralihan kuasa pemerintah dari tangan Mahathir kepada Abdullah Badawi. Seluruh pemerhati politik mengakuinya, namun pada faktor yang kedua pula tidak ramai yang mengamatinya, iaitu pengantian jawatan dari Fadzil Mohd Noor kepada Abdul Hadi Awang. Dari sudut sisi pandang lain, faktor ketiadaan Anwar Ibrahim adalah punca keretakan perhubungan yang terjalin antara Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik lalu mengheret pembangkang ke lembah celaka lantas membenarkan pemerintah terus angkuh menjarah.

Kini skrip lama diklisekan. Jika 13 tahun lalu isu hudud yang di-KIV untuk menanti waktu yang sesuai bergema semula selepas tarikh kematian Fadzil Mohd Noor. Kini isunya semakin rancak setelah perginya Nik Abdul Aziz yang diganti tempatnya dengan Haron Din.

fak-yey!!

p/s: jenayah meningkat setelah tahap ekonomi rakyat menurun, apakah hudud mampu menjamin sesuatu pada ekonomi rakyat setelah pelaksanaan GST kelak?

Wednesday 4 March 2015

Etika Penulisan Sang Wartawan

Siapa yang tak pernah menonton filem Ali Baba Bujang Lapok?

Di dalam naskah tersebut terdapat satu babak di mana si Ali Baba (Aziz Satar) menyamar sebagai Wartawan. Bilamana si Ketua Penyamun (P.Ramlee) mendengar perkataan Wartawan maka dengan lantas beliau memdedahkan rahsia kejayaan beliau sebagai Ketua Penyamun.

Isu yang ditekan di dalam babak tersebut adalah kuasa kewartawanan itu sendiri. Kerjanya membongkar isu yang meragukan, mendedahkan pekara yang tidak ramai sedari serta mencari rahsia disebalik.

Kini tugasan Wartawan hanya menunggu arahan Editor, mengarang tulisan ke dada akhbar melalui isu di Fesbok, mencari berita tahyul serta menulis mengikut gaji yang telah ditentukan.

Dalam tak sedar, kita telah disemai dengan momokkan Keyboard Warrior hanya kerana kuasa pena sudah mengugat kuasa politik semasa. Jika Tongkat Warrant hidup di zaman cyber, nescaya beliau pun tetap dichop sebagai Keyboard Warrior.

Kelak kita jangan hairan jika suratkhabar pedana/tabloid menjadi zine, dan zine menjadi media arus perdana.

nota kaki: melawan senjata dengan mata pena kerna peta dan buku manual boleh ditulis dengan mata pena, pistol boleh tulis apa?

Sunday 1 March 2015

Ulang Tahun Kita Bersenggama.

Genap setahun kita bersama. Macam-macam kita tempuh bersama. Pahit, manis, marah, suka, tawa, geram, senang tak selalu tapi susah sentiasa.

Jika aku pergi duhulu, aku tahu kau tidak boleh menghadapinya. Jika aku pergi dahulu janganlah lama menjanda, Cepat-cepatlah cari pengganti.

Menurut kajian Pakar di dalam kajiannya bahawa mereka yang kematian pasangannya akan mati kesunyian. Aku tidak mahu kau mati berduka. Aku mahu kau mati dengan segala urusan yang sudah selesai atas nama Tuhan semesta alam.

Namun jika kau tidak mampu mengharunginya andai aku yang pergi dahulu, maka aku merelakan untuk membiarkan kau mati dahulu. Aku ni kan lelaki. Lelaki kan harus tabah. Barulah boleh menjadi Khalifah. Bukan Khalifah Poligami tetapi Khalifah atas urusan Tuhan semesta alam.

Ulang Tahun Kita Bersama.

Wednesday 25 February 2015

Resensi: Terbaik Dari Langit


“Kalau kat sekolah dulu baca buku tak faham, kau bodoh ke buku bodoh?” – Berg

Khir Rahman, seorang pelakon dan pembikin filem di dalam sesi dialog tonton amal filem pendeknya ‘PESONA... ter’ berkata, “penulisan mempunyai nilai sastera dan begitu jua dengan filem tetapi sastera penulisan dan sastera filem tidak sama”

Jika kita mahukan susuk tubuh badan yang sihat maka kita perlukan pengambilan makanan yang bagus. Jika kita mahukan minda kita berfungsi akalnya maka kita akan mencari bahan bacaan yang mencakar minda dan begitu jualah filem. Dewasa ini kebanyakkan filem tempatan yang terbit telah gagal dari sudut kualiti. Filem sebegini aku sifatkan ia dengan gelaran junk food. Boleh tonton tapi jangan berlebihan. Dalam lambakan filem junk food/popcorn tempatan masih ada lagi sebuah naskah yang tak keterlaluan jika aku katakan ‘filem seni moden’ Terbaik Dari Langit.

Jika kau bandingkan filem ini dengan filem KiL hanya kerana sudut pengarahan yang sama mungkin boleh dan mungkin tidak. Terbaik Dari Langit mengangkat tema persahabatan yang jarang diketengahkan dan dikupas. Apakah zaman yang paling menyeronokkan pernah kamu lalui selain zaman persekolahan? Isu yang diketengahkan ini terbina selari dengan masalah industri pembikinan filem tanahair.

Naskah ini dimulakan dengan memori pengenalan 4 watak yang bersahabat baik sejak zaman persekolahan. Kita sedia maklum yang mana institusi persekolahan adalah permulaan pola pemikiran mengikut sistem dan kehendak sebuah kerajaan pemerintah. Jika hala tuju kerajaan samar-samar maka misi dan visinya juga kurang jelas bagi tenaga pengajar untuk meneruskan matlamat kerajaan.

Ini dapat dilihat dari hasil pandangan penulis lakon layar dan skrip filem ini sendiri iaitu Redza Minhat. Sebagai contoh babak pementasan teater Batu Belah Batu Bertangkup. Riak air muka cikgu Mat Deris yang kurang senang dengan persoalan yang dilontarkan oleh Berg.

“Apakah batu ini bersifat karnivor?”

Penonton yang majoritinya adalah pelajar yang mewakil generasi baru ketawa berdekah-dekah tanda setuju akan persoalan itu, tetapi tidak untuk cikgu Mat Deris. Cikgu Mat Deris yang digambarkan mewakili institusi persekolahan warga senior/veteran terus cuba meletakkan corak fahaman sempit seperti yang digambarkan dalam babak penyerahan semula video rakaman.


“Buatlah filem bagus-bagus, (bukan) filem sampah”

Berpandukan tulisan kapor di papan hitam, watak cikgu Mat Deris adalah guru Bahasa Melayu. Adakah wajar seorang guru gagal menterjemahkan karya dari sudut seni? Jika sistem itu sudah pincang dan tidak mahu berubah maka sampai bila-bila pun akan sama. Begitulah jika kita lihat watak Toyu setelah dewasa. Toyu merupakan menyambung warisan para pengajar atau generasi peneraju dan beliau mengajar subjek Kemahiran Hidup. Babak itu bagaikan sindiran bapa borek, anak rintik.

Satu sudut di papan hitam ada tertulis “BG Riot” Babak itu mengingatkan kembali isu demontrasi BERSIH. Kononnya ketika itu budaya turun ke jalanraya adalah budaya beruk. Jadi mengapakah beruk-beruk itu turun ke jalanraya? Adakah kerana mereka beruk, atau bapa beruk yang tak mengaku mereka beruk?

Bikin filem bukanlah satu kerja yang mudah. Ia memerlukan semangat nilai setia kawan dan kesefahaman yang sekata. Aku rindukan aroma stress berdepan dengan bermacam kerenah di belakang tabir. Dengan kerenah displin, ego pelakon dan pengarah (sutradara & videographer), jurugegas yang tak cukup tidur, van handy yang selalu meragam, juru mekap tak sebulu dengan pengarah seni, wartawan dengan soalan cepu cemasnya, pembantu pengarah yang tak dapat di kawal oleh pengurus produksi dan yang paling ketara adalah bajet.


Aku tertarik dengan dialog Ali “nak yang pesyen-pesyen, bayar yang posen posen” tukar syot terpampang muka lembu. Babak ini mengambarkan betapa teruknya masa depan pelakon tambahan kita. Jika di Hollywood watak sebagai pelakon tambahan sahaja sudah mampu menjadi sebuah kerjaya yang menjamin kehidupan. Aziz Satar memulakan bidang lakonan dari tahap pelakon tambahan. Itu pun sebab mengantikan pelakon tambahan yang tak datang. Beto Khusyari yang menjadi kegilaan dara sunti pun berasal dari aras pelakon tambahan jua. Jika kerjaya asas pun dah ke laut, bagaimana pula dengan impian besar sutradara?

Saban tahun dada media sering mencanang isu kebajikan pelakon dan pengkarya di balik tabir yang lain. Sebenarnya isu ini adalah isu lapok dan hanya dinaikkan isunya untuk meraih pengaruh jika tertubuhnya persatuan yang kononnya membela nasib mereka. Jika benar mereka itu pembela, mengapa hak royalti zaman gemilang Jalan Ampas diam berkubur.

Begitu juga dengan momokan bahawa kerjaya dalam bidang kedoktoran adalah sesuatu yang hebat di mata masyarakat. Terutama simbolik props picagari. Jika yang memegangnya itu seorang doktor bertauliah maka segala kata-katanya bagaikan ahli sihir yang sedang menyihir. Jika pemegang itu dari kelas kebanyakan maka digelar doktor pacak.

Dalam sistem pendidikan kita jua ada masalah pengkastaan ini terutamanya pengasingan pelajar pandai ke aliran sains dan ekonomi manakala yang sebaliknya pula di aliran seni sastera. Senyum itu penawar duka. Tabib yang merawat pesakit tanpa naluri seni halus hanya menjual dadah mengikut sukatan tertentu agar melegakan masalah penyakit. Rakyat mahrain penjana ekonomi. Berniaga berasaskan untung hanya mengundang penindasan hasil dari sifat tamak untuk bersaing. Seni tanpa fizik bakal menerbitkan fahaman mitos yang mengarut serta tahyul.

Justeru itu, watak Sofea Jane adalah budak perempuan yang memberontak jiwanya akibat kehendak keluarga yang mahukan ia menjadi doktor. Boleh dikatakan penulis skrip memang sengaja meletak Sofea Jane sebagai bekas pelajar perubatan kerana dialah yang merawat virus kotor yang ada dalam perhubungan 4 sahabat itu. Bayangkan jika sistem pendidikan kita tiada pengkelasan darjat.


Sofea Jane dan Toyu adalah watak yang jelas menunjukkan masalah dalam sistem persekolahan kita. Istilah dalam sains mempunyai tapak asas yang sama dengan seni cuma percanggahan berlaku apabila sesuatu istilah yang dilontarkan itu dipertahankan. Contohnya babak di dalam van sewaktu Berg menelan pil, pada mata Toyu yang berjiwa seni ia adalah panadol yang melegakan kesakitan. Tetapi di mata Sofea Jane sebagai bekas pelajar kejururawatan beliau menghuraikan mengapa harus Berg mengambil dadah.

Selain naratif yang cantik, permainan kamera Jordan Chiam jua sangat mengasyikkan. Terasa bagai menonton iklan raya petronas Yasmin Ahmad durasi filem. Dibantu pula dengan pemainan prop terutamanya bagasi yang digalas atau diusung ke hulu ke hilir adalah simbolik kepada bebanan dosa silam atau mungkin juga permasalahan diri masing-masing. Tekanan dengan awek yang mendesak untuk  berkahwin, tekanan dengan harapan keluarga, tekanan dengan misi dan visi kerajaan, tekanan dengan penonton filem yang kerap nak pembikin filem fahamkan isinya dan tekanan yang tiada tekanan seperti watak Ali. Semuanya tersimpan di dalam bagasi watak masing-masing.

Peranan watak berposisi golongan bawahan turut menjadi tema perbualan dalam naskah ini. Watak Ali sangat sempoi. Jika di dalam team krew penggambaran Ali ibarat pembantu produksi. Dialah Handyman dialah Runner. Kadangkala posisi bawahan ini mampu menguruskan seluruh idea pengarah agar visi pengarah itu mampu dicapai. Seperti di dalam syarikat yang berpengaruh, pernahkah kau tengok Boss hantar surat by hand? Kalau boss yang hantar, siapa yang nak pergi sidang mesyuarat? Takkan suruh office boy? Maka itu disebabkan itu jawatan dispatch wujud. Tujuannya melancarkan operasi syarikat. Begitulah peranan Ali. Walaupun berbadan besar tapi penakut, dengan semangat setia kawan dan jati diri yang kreatif beliau mampu mengharungi rintangan pelbagai kerenah hidup bermasyarakat ras dan kasta.

Begitu jua dengan watak Sara, pembantu peribadi. Aku kurang pasti Sara pembantu peribadi siapa? Tapi aku yakin Sara adalah pembantu peribadi kepada Zelda seorang ahli niaga berstatus bintang. Sara digambarkan sebagai watak pembuka mata kepada pihak yang angkuh berdiri bersama bodoh sombongnya.
Watak Sara dan Sofia diwujudkan seolah-olah watak kita sebagai penonton yang turut serta dalam pengembara secara separa sedar. Dan dalam masa yang sama jua kedua watak ini adalah bercorak ahli diplomat atau orang tengah yang meleraikan kekusutan konflik 2 pihak.

Tidak mudah untuk menyelesaikan masalah jika kita tidak kenal punca permasalahan. Berg mengajak rakannya kembali mengenal punca permasalahan. Begitu jua dengan permasalahan global kini. Mengapa sana sini berlaku huru-hara yang tak berkesudahan? Apakah jika dengan bertolak ansur maka tercapainya solusi damai? Tidakkah ia bakal dilihat seperti ada pihak yang akan terus menindas atas kesempatan sesetengah pihak yang mengalah?

Nik selaku pengarah dan Redza bertindak sebagai penulis mengajak untuk kita kembali kepada titik mula atau fitrah kehidupan. Jika melihat kegemilangan kesusasteraan melayu ia akan terbentuk dari dua sudut iaitu dari elemen bicara alam semula jadi atau kembali ke tanah asal. Babak Berg dan rakannya berkampung semula di kampung halamannya dan dikuatkan dengan penceritaan susur galur dari Toyu nyata adalah titik sebenar yang hendak disampaikan isi cerita filem ini.


Begitu jua dengan elemen air dan tanah yang digambarkan. Jika menurut pendapat falsafah mistik, manusia itu berasal dari tanah. Dengan elemen penyucian jiwa yang dilontarkan melalui 2 kali bilasan air. Pertama ketika babak sewaktu ketegangan di dalam ruang yang kecil (di dalam van). Masing-masing sudah mengalami permasalahan yang ketara. Lalu elemen hujan yang hadir bagaikan pelepas ketegangan. Aku merasa rugi tidak dapat menonton dengan suasana pawagam. Aku percaya aku jua akan hanyut bersama mereka dengan permainan kamera dan bunyi runut dari Pita Hati. Ia sangat memainkan peranan. Begitu jua dengan babak mandi laut yang menceritakan manusia perlu bebas. Ia jua seperti kepercayaan yang beragama seperti berwuduk dan mandi untuk menebus dosa di Sungai Gangga atau berendam di dalam Holy Water adalah element terang dan nyata bagi pengamal ritual.

Bertaubatlah sebanyak mana pun jika kita tidak kembali kepada asal usul atau fitrah atau pulangkan kepada yang hak, mampukah kita hidup dengan damai sejahtera? Mengenali diri dan peranan masing-masing tanpa rasa dengki dan iri hati. Menjalankan tugas tanpa bayang-menbayangi seperti peranan setiap lebah kepada ratunya?

Fasa kehidupan sebenar bermula setelah kita mengenali diri sendiri.

Wednesday 4 February 2015

rukun damai

jika dapat kau melihat
rupa syurga yang hakiki
pasti kau butakan mata
pada semua ugama

jika dapat kau menyedari
apakah itu neraka
pasti kau laungkan
ayuh hidup tanpa perang

bersegamalah bersama
dengan damai sejahtera

Sunday 25 January 2015

Monarki Rotan

Suatu ketika dahulu...

Atok: Kau ni kenapa degil sangat? Nak kena rotan?

-----

Beberapa ketika kemudian...

Bapa: Kau ni kenapa degil sangat? Aku rotan nanti, kata mendera plak!

-----

Akan datang mungkin...

Anak: Kenapa degil nak merotan ni? Nak masuk penjara?

Saturday 24 January 2015

tuhan hamba Tuan hamba

"anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah
bercampur dengan keringat
bumi kini diazab bala"

saban tahun daratan dibaham musim bah
tiap kali hujan turun
tiap kali jua ia bah
tiap kali hujan turun
air sungai turut melimpah
tiap kali turun hujan
acap kali pindah randah

ditanya kenapa kerap benar menimpa?
dijawabnya ringkas, BALA
ditanya kenapa bala?
dijawab pun ringkas, LEKA
ditanya pula siapakah yang leka?
ringkas jawapannya, MANUSIA
apakah yang dilekanya?
lekanya pada tuhannya

bagaimana pula dengan...,
ayam, itik, angsa,
kambing, lembu, kerbau,
kucing, anjing dan babi hutan?
apakah haiwan ternak ini juga,
lupa dan leka pada tuhannya?
atau haiwan itu tercipta tanpa tuhan?
kejamkah tuhan
mengazabkan haiwan yang buta huruf pada kitabnya?
atau kau yang kejam,
hingga menyalahkan tuhan bila dibaham azab?

tiap tahun dibaham bah
tiap tahun kami redah
kau selaku pemerintah
tak pernah mahu berubah
segala macam kau tarah
tulang keringat kau lapah
agar terus angkuh mewah,
bila dibaham musim bah
semua takut dan gelabah
dituduhnya pula
tuhanlah yang bersalah
kerna perintah
belit hikmah dan musibah

tika jerebu
bersolat hajat
pabila hujan
solat hajat jua
siapa tuhan?
siapa hamba?

Wednesday 14 January 2015

Konspirasi Bas Express

Pak Karim Tempe merenung jam di tangan kirinya buatan dari Bienne, Switzerland. Jam dari salah sebuah hantaran perkahwinannya dengan Arwah Jijah Mancung pada tahun 1983. Jarumnya sudah menunjukkan jam sepuloh, dua puloh tiga minit malam. Pak Karim Tempe khusyuk menonton television di Warung Muneandy yang melaporkan berita tempatan tergempar pada malam itu. Kampung Pata Timor dilanda banjir teruk. Itu adalah banjir terburuk sejak 10 tahun lalu.

Sambil Pak Karim ralit menonton, sambil Pak Karim Tempe menghirup air kopi-O pekat yang sudah sejuk dibaham dingin malam.

“Macam kenal je bunyi motor tu” ujar Edy Katik mecelah di balik suara berita television.

Dari jauh kelihatan cahaya lampu motor membelah kepekatan malam melalui jalan kampong.

“Tolong!! Tolong!!” Jerit Pak Din Pening sayup-sayup kedengaran secara tiba-tiba datang dari hujung simpang menuju ke depan Warung Muneandy.

“Itu macam suara Pak Din.” Sambung Edy Katik.

Pak Karim Tempe, Zali Intai, Muneandy, Apek Fey Latt, Edy Katik, Amah Sara dan beberapa lagi yang dari tadi melayan television terus menoleh kearah cahaya motor yang semakin dekat menghala ke warung Muneandy.

“Apa hal plak diorang kali ni?” getus Edy Katik lagi.

Cahaya lampu motor yang makin menghampiri warung Muneandy semakin jelas kelihatan kelibat 3 manusia sedang menaiki motorsikal. Pak Din Pening, Munir Spek dan Kebai Poyo yang bersama menaiki motosikal Panther Jerung. Mereka bertiga menaiki motor bersama ke mana saja. Dah macam adik beradik kalau orang luar kampong melihat gelagat mereka bertiga.

“Tolong!! Tolong” jerit Pak Din Pening lagi.

“Hah, kenapa korang bertiga ni?” sahut Edy Katik.

Kebai Poyo melompat turun dari motosikal sebaik sahaja Pak Din Pening berhenti. Kebai Poyu tercungap-cungap macam baru lepas belari pecut.

“Entahnya, air sungai naik ke?” soal Pak Karim Tempe.

“Bukan Pak Karim.” Sahut Munir Spek yang turun dari motosikal termengah-mengah sebaik Kebai Poyo turun dari motosikal.

“Habis tu kenapa?” sampuk Zali intai.

“Dia jadi lagi kali” sahut Pak Din Pening sambil menongkat motosikal Panther Jerung berwarna hitam.

“Jadi lagi apa?” Tanya Edy Katik.

*******

“Masuk kali ni dah 3 kali bas ekspress exsident kat area jalan besar tu” kata Pak Karim Tempe sebaik sahaja menghirup air kopi-o pekat. “Bulan ni saja dah 3 kali. Kes yang first-first dulu Bas Masiah Ekspress hilang. Tak dan nak settle, sebijik lagi Masiah Ekspress eksiden. Kononnya kena ambush ngan geng samseng mana tah. Tu pun tak settle lagi. Ni tambah lagi dengan eksiden baru plak” terang Pak Karim Tempe.

“Teruk ke Pak Din?” Tanya Amah Sara pembantu warung Muneandy.

“Teruk la kot kalau kesan brek je yang ada kat jalan tu” sampuk si Munir Spek.

“Takkan bas sebesar tu pun boleh ghaib kot Pak Din?” soal Edy Katik sambil menyalakan rokok daun tembakau wanginya.

“Jalan tu kan kalau time hujan sikit je terus kabus tebal” jawab Kebai Poyo.

“Pelik betul aku, dulu tak macam ni” Sambung Edy Katik.

“Sejak jalan dah makin besar ni makin kerap plak benda-benda pelik jadi” celah Zali Intai.

 “Kita tak boleh cakap apa-apa lagi, lagi pun Pak Din cakap benda tu baru je lagi jadi. Sapa yang ada kat tempat tu tadi Din? Polis dah tahu ke belum?” Soal Pak Karim Tempe panjang lebar.

“Kami bertiga je ada masa tu, tu pun Kebai yang call” jawab Pak Din Pening.

“Saya talipon 999 je Pak Karim, deme cakap  nanti Jaypam datang” sahut Kebai Poyo.

“Habis tu yang korang datang kemari ni buat apa?” Tanya Zali Intai.

“Nak mintak tolonglah, kalau setakat kami bertiga memang tak kemana la” jawab Munir Spek.

“Laa!! Kenapa tak cakap awal-awal tadi!” bentak Edy Katik.

“Dah moh pegi, dok borak macam detektif buat apa.” arah Pak Karim Tempe.

“Alo kawan, ini sapa mau bayar?” sergah Muneandy.

“Alah kau ni, macam tak biasa plak” Jawab Pak Karim Tempe.

Semua bingkas bangun. Hanya Apek Fey Latt sahaja yang membayar air suamnya.

“Hai Pak Karim, takkan nak naik beskal je kot? Bila nak sampai kalau macam tu?” soal Zali Intai yang sudah menghidupkan enjin Kapcai Y80 warna kuning.

“Aku balik rumah simpan basikal, kau ambil aku kat umah” jawab Pak Karim Tempe.

Berkonvoilah mereka menuju ke lokasi kemalangan Bas Ekspress yang di ketuai oleh Pak Din Pening. Maka lenganglah warung Muneandy dan television di warungnya masih lagi melaporkan isu mendadak perihal banjir di Kampung Pata Timor. Tinggallah Amah Sara dengan Muneandy terkedek-kedek.

*******

          Sekumpulan konvoi bermotor membelah pekat lewat malam menuju ke tapak kemalangan Bas Ekspress. Selang sepuloh minit sebuah motor Kapcai Y80 pula mengekori laluan konvoi bermotor tadi. Zali Intai menunggang dengan skala laju 75 kmh dan Pak Karim Tempe mencekak bahu Zali Intai dengan kemas. Maklumlah, Pak Karim Tempe dah lama tak naik motor.

                “Mula-mula dulu Bas Masiah Ekspress hilang tiba-tiba. Tak lama lepas tu sebijik lagi Bas Masiah Ekspress kena tapi eksiden je la. La ni Masiah Ekspress lagi yang eksiden..”

                “Rasanya kali ni bukan bas Masiah Ekspress lagi Pak Karim” celah Zali Intai sebelum Pak Karim Tempe habis membebel.

                 “Habis kalau bukan Masiah Ekspress, bas ekspress mana pula kali ni?”

                “Pak Din cakap, Asiah Ekspress”

            “Sure not?” soal Pak Karim sambil mengelap mukanya yang tempias air liur Zali Intai bercakap akibat dari angin kuat dari pecutan motor yang mereka tunggang.

                “Betul Pak Karim. Pak Karim tak dengar ke tadi Pak Din cakap?”

             “Aku focus layan berita banjir tadi. Eh! Diorang berlanggor kat mana? Tempat sama dengan Masiah Ekspress hilang hari tu ke?”

                “Tak. Kali ni bawah sikit kot?”

             Selang lima belas minit sampailah mereka ke lokasi kemalangan. Seperti yang diceritakan Munir Spek memang benar, hanya kesan brek tayar yang agak panjang sahaja yang berbekas di jalan tar. Kesan brek panjang menuju ke dalam semak hutan tepi jalan yang lurus. Kelihatan juga kereta polis peronda seakan baru tiba ke tempat kejadian. Dua orang pegawai polis berpangkat Polis Bantuan berlagak buat-buat sibuk menyiasat. Tak lama kemudian Bomba, Ambulan dan JPAM pun sampai ke lokasi kejadian. Orang kampong ramai yang tiba ke tempat tersebut masing-masing mejejak arah kehilangan Bas Ekspress ke dalam semak hutan.

                Pak Karim Tempe terpijak sesuatu. Diangkat kakinya lalu mengamati objek yang dipijaknya. Lantas Pak Karim Tempe menguis dengan kakinya perlahan hingga tersorok objek tersebut disebalik semak tebal.

                “Zali, hantar aku balik jap”

                “Kenapa pulak ni Pak Karim?”

                “Tetiba je perut aku ni memulas. Cepat la, nanti tercirit plak kat sini.”

                “Adu pak karim ni, kecoh arr”

                “Woit. Korang nak kemana tu?” tegur Edy Katik.

                “Pak Karim ni sebok nak balik plak, tadi nak ikut sangat” jawab Zali Intai.

*******

                Keesokan harinya sebaik sahaja hampir separuh kedai di Pekan Tumpu memulakan perniagaan, Pak Karim Tempe tiba dengan penuh bersemangat dan melangkah yakin ke salah sebuah kedai di Pekan Tumpu. Pak Karim Tempe menghulur kertas kecil yang ditulisnya kepada Amoi Cantik di kaunter nombor ekor.

-MAT-

Tuesday 13 January 2015

BaTuLa

bacalah
Bacalah dengan bahasa ibu lidahmu
Bacalah dengan cahaya penglihatanmu
Bacalah dengan alunnan dari jabingmu
Bacalah dengan saraf akal tunjangmu.

tulislah
Tulislah dengan hasil coretan tanganmu
Tulislah dengan perkhabaran gumbiramu
Tulislah dengan penjelasan kenyataan
Tulislah untuk membantu jiwa yang lemah

lakukanlah
Lakukanlah atas apa yang difahami
Lakukanlah setelah apa kau dengari
Lakukanlah agar terbukti kenyataan
Lakukanlah dengan ilmu
Jangan lakukan berdasar prasangka kuno,
warisan nenek moyangmu

1947
130115
-mat aneh-
fs corner